Friday 3 May 2019

Lawatan Dari Pelajar Fakulti Pengurusan Maklumat, UITM Kelantan

Pada 11 April 2019, Perpustakaan ATMA menerima lawatan daripada pelajar Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan.

Lawatan adalah bertujuan melihat pengurusan manuskrip di Pusat Penyelidikan Manuskrip ATMA selain meninjau bahan nadir yang terdapat di Perpustakaan ATMA.

Pihak perpustakaan memberi peluang kepada mereka untuk melihat Koleksi Khas yang menempatkan koleksi Melayu dari seluruh nusantara dan dunia Melayu-Polinesia termasuk Koleksi Melayu Sri Lanka, Afrika Selatan, Koleksi Bahasa Melayu Surinam, bahan nadir dalam bahasa Belanda (maklumat berkaitan bahasa dan masyarakat Melayu pada abad ke-16). 

Selain daripada itu, pendedahan kepada aspek suhu dan kelembapan bahan yang berada di Koleksi Khas yang berbeza dengan bahan yang berada di Koleksi Am juga dimaklumkan kepada mereka.

Diharap perkongsian ilmu dan pengalaman ini dapat menambah ilmu selain meningkatkan semangat mereka dalam memelihara seterusnya memperkasakan peranan pengurus maklumat walau dimana mereka bertugas kelak.



Pustakawan ATMA di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Pustakawan ATMA berpeluang ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di PWTC pada 5 April 2019.

Pemilihan buku di pesta buku merupakan pengalaman yang berharga kepada pustakawan terutama dalam mendapatkan bahan yang terkini dan relevan dengan keperluan penyelidik di perpustakaan. Pustakawan dapat melihat sifat bahan tersebut berbanding pembelian buku berpandukan katalog yang disediakan oleh pihak pembekal sebelum ini. Malahan, pengalaman berurusan dengan pihak pembekal, penerbit dan ruang berkenalan dengan pustakawan daripada institusi lain juga merupakan antara momen positif dan baik untuk dikenang.

Sungguhpun kepenatan terpaksa berjalan ke satu gerai pameran, dengan ribuan pengunjung lain, perasaan gembira dan kepuasan dapat memilih bahan yang terbaik untuk perpustakaan tidak dapat digambarkan dengan perkataan.

Acara tahunan yang dianjurkan sejak tahun 1981 ini sentiasa dinantikan oleh para pencinta buku kerana menempatkan pelbagai jenis kategori bahan sama ada terbitan dalam negara mahupun luar negara, sehingga digelar 'Hari Raya Pencinta Buku'.

Mudahan ada rezeki untuk pesta buku akan datang, mana tahu ke luar negara pula.






Pertemuan Dengan Mantan Kakitangan Perpustakaan ATMA: Encik Hasbullah Marzuki

Terima kasih kepada Encik Hasbullah Marzuki, mantan kakitangan Perpustakaan ATMA yang bersara pada tahun 2005 sudi datang untuk berkongsi maklumat tentang koleksi manuskrip sumbangan beliau.
Manuskrip tersebut merupakan tinggalan arwah datuknya, Mohd Pardi Haji Salleh yang dilahirkan pada tahun 1870-an di Pacitan, Jawa Timur.
Arwah merantau ke Chenderiang, Perak sekitar tahun 1920-an dan berguru dengan Kiyai Haji Salleh Haji Abdul Rahman di Temoh, Perak.
Manuskrip berkisarkan tentang kitab sastera, kitab amalan, fekah, kitab jawi jawa, ketika tempoh pengajian arwah Mohd Pardi Haji Salleh.
Proses mengenalpasti judul, jenis khat dan sebagainya tentang manuskrip tinggalan arwah masih berjalan, tetapi melalui sumber yang diberikan oleh Encik Hasbullah banyak membantu pihak perpustakaan.
Sumber:
Temuramah dengan Encik Hasbullah Marzuki 2 April 2019.
Badriyah Haji Salleh (1984). Kampung Haji Salleh dan Madrasah Saadiah-Salihiah 1914-1959.