Friday 14 June 2019

Jom Baca Bersama 10 Minit@Perpustakaan ATMA


Program Jom Baca Bersama 10 Minit diadakan bersempena sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia yang diadakan setiap tahun. Tujuan program ini diadakan adalah bagi menyahut seruan kerajaan dalam menjayakan Dekad Membaca Kebangsaan, program ini merupakan salah satu inisiatif menggalakkan budaya membaca dikalangan warga UKM seterusnya menjadikan rakyat Malaysia berilmu bertaraf dunia selari dengan slogannya iaitu #MalaysiaMembaca.

Perpustakaan ATMA turut menjayakan program ini pada 23 April 2019 yang merupakan simbolik kepada pembacaan serentak di seluruh negara yang dianjurkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM). Di antara pengisian lain selepas sesi membaca bersama 10 minit, pelanggan boleh berkongsi nilai dan maklumat yang diperolehi menerusi pembacaan yang singkat tersebut.






Pustakawan ATMA di ICOLIS 2019

Peluang menghadiri persidangan antarabangsa sering menjadi pengalaman yang memberi impak positif kepada peserta. Pada 18-19 April 2019, Puan Siti Wahida Amanullah, Pustakawan Kanan dari Perpustakaan ATMA dan Puan Nik Zaleha Nik Mustapha, Pustakawan Kanan dari Unit Katalog, Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) telah diberi peluang untuk menghadiri International Conference on Libraries, Information & Society (ICOLIS) bertempat di Hatten Hotel, Melaka.

ICOLIS 2019 merupakan persidangan siri ketujuh yang diadakan sekali sepanjang dua tahun dianjurkan oleh Universiti Malaya dengan tema Revitalizing the Library for the Nation. Persidangan selama dua hari dengan pembentangan, perkongsian dan perbincangan tentang perkhidmatan terbaik di perpustakaan masing-masing tentunya menyuntik semangat para pustakawan dalam memperkasakan lagi profesyen kepustakawanan.

Dengan perkembangan dunia digital, kebanyakan pembentang berkongsi tentang keperluan memelihara bahan lokal (terutama bahan berbentuk lisan daripada masyarakat setempat) supaya tidak pupus atau terbiar tanpa perekodan untuk rujukan generasi masa depan. Memandangkan perpustakaan merupakan sebuah gedung ilmu, keupayaan untuk mengumpul khazanah tanpa mengira sumber seterusnya mendekatkan komuniti setempat ke ruang ilmu tersebut dilihat menjadi kekuatan untuk sesebuah perpustakaan kekal relevan.

Selain itu, perkongsian pustakawan tentang media sosial dan dunia digital kekal menjadi cabaran malahan menjadikan para pustakawan lebih kreatif dalam mengaplikasikan cabaran tersebut untuk meningkatkan dan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan berkualiti kepada pelanggan.

Persidangan merupakan platform yang baik dan sempurna untuk mengemaskini maklumat dalam diri pustakawan kerana tidak melalui kertas kerja pembentangan sahaja malahan sesi berkenalan dengan pustakawan dari negara lain juga memberi input yang positif.

Mudahan akan ada peluang lain lagi, di masa depan. Insya-Allah.





Bengkel Pencarian Maklumat Bahan Bahasa Melayu

Perpustakaan ATMA dengan kerjasama Unit Penyelidikan, Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) telah mengadakan Bengkel Pencarian Bahan Bahasa Melayu pada 9 April 2019 bertempat di Makmal Latihan, PTSL.

Bengkel yang dihadiri oleh pustakawan dan kakitangan perpustakaan telah dikendalikan oleh Puan Mariatul Qibtiah Isa, Pustakawan Kanan Unit Penyelidikan, PTSL dengan menekankan beberapa platform pencarian untuk bahan dalam bidang bahasa Melayu.

Platform carian tersebut adalah EBSCHOST Discovery, MyCite, MYTO, Proquest, IIUM Repository, Directory of Open Access (DOAJ), U-Pustaka PNM (Perpustakaan Negara Malaysia) dan IDBP.

Bengkel ini bertujuan untuk menambah kemahiran dan pengetahuan pustakawan dan kakitangan terutama dalam mendapatkan bahan atau sumber berkenaan subjek bahasa Melayu.