Saturday 29 October 2016

Pengenalan

Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu (Perpustakaan ATMA) ditubuhkan pada tahun 1972 dan tujuan penubuhannya adalah untuk menyokong pengajian dan pentadbiran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA). Idea penubuhannya tercetus daripada “Program Penyelidikan dan Dokumentasi” yang dirangka oleh mantan Pengarah ATMA yang pertama, Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Perpustakaan ATMA bertindak membangun dan memperkayakan koleksi perpustakaan dalam bidang alam dan ketamadunan Melayu dari masa ke semasa. Perpustakaan ATMA dahulunya hanya mempunyai 30,000 naskhah koleksi bahan dan kini koleksi tersebut telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 85,000 naskhah merangkumi pembelian bahan dari dalam dan luar negara. Perpustakaan ATMA mempunyai beberapa koleksi bahan iaitu Koleksi Am, Koleksi Rujukan, Koleksi Terbitan Bersiri, Koleksi Khas, Koleksi Nadir, Koleksi N. A. Halim dan Koleksi Wiramanja. Perpustakaan ATMA kini ditempatkan di aras 2 dan 3, Bangunan ATMA, UKM. Mulai tahun 2010, Pejabat Am Perpustakaan ATMA ditempatkan di aras 2 manakala Kaunter Perkhidmatan Pinjaman dan Pemulangan bahan ditempatkan di aras 3.

Perkhidmatan

PINJAMAN DAN PEMULANGAN
Semua ahli perpustakaan yang berdaftar (berdasarkan kategori) adalah layak untuk meminjam atau merujuk bahan-bahan serta menggunakan segala kemudahan yang terdapat di Perpustakaan ATMA. Perkhidmatan ini membenarkan pelanggan meminjam bahan untuk satu jangkamasa tertentu berdasarkan kategori. Pelanggan diminta menunjukkan kad kampus ahli kepada kakitangan yang bertugas setiap kali ingin meminjam bahan atau ingin menggunakan kemudahan yang disediakan. Denda sebanyak 50 sen sehari akan dikenakan kepada setiap naskhah buku yang lewat dipulangkan.


KATALOG AWAM DALAM TALIAN
Kemudahan komputer untuk mengakses Katalog Awam Dalam Talian (OPAC) iaitu GEMILANG disediakan untuk kemudahan pelanggan mengesan buku yang terdapat di Perpustakaan ATMA. Ianya mengandungi rekod asas yang memberi maklumat lengkap bahan Perpustakaan UKM dan membolehkan sesebuah bahan itu diperoleh dengan cepat. Ianya juga boleh dicapai dengan melayari laman web : http://gemilang.ukm.my/


TEMPAHAN BAHAN
Pelanggan dikehendaki menggunakan ID pelanggan (patron ID) dan kata laluan (password) yang didaftarkan di Perpustakaan ATMA semasa membuat tempahan bahan. Pelanggan boleh menempah bahan melalui GEMILANG dengan syarat bahan berkenaan sedang dipinjam oleh pelanggan lain. Perkhidmatan ini boleh didapati dengan melayari GEMILANG di alamat http://gemilang.ukm.my/. Tempahan buku yang dibuat oleh ahli sahaja akan diambil kira dan disediakan untuk pinjaman. Pembatalan terhadap tempahan juga boleh dibuat melalui GEMILANG. Selepas buku dipulangkan oleh peminjam, penempah diberi masa tujuh (7) hari untuk mendapatkan dan meminjam buku tersebut di Kaunter Pinjaman dan Pemulangan.


PEMBAHARUAN PINJAMAN SECARA ATAS TALIAN
Pelanggan juga boleh memperbaharui pinjaman mereka melalui GEMILANG dengan syarat bahan berkenaan belum lewat, bahan tidak ditempah oleh pelanggan lain dan tidak mempunyai denda yang belum berbayar. Pembaharuan melalui GEMILANG hanya boleh dilakukan 3 kali sahaja dan hendaklah dibuat sebelum tarikh pemulangan bahan.


LAMAN WEB PERPUSTAKAAN
Laman Web Perpustakaan ini boleh dicapai melalui alamat berikut: http://www.ukm.my/patma/. Pelanggan boleh mendapatkan maklumat mengenai koleksi, perkhidmatan ditawarkan dan lain-lain maklumat mengenai organisasi dari masa ke semasa.


Facebook Perpustakaan
Perpustakaan mempunyai laman web sosial facebook di bawah nama Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu. Pelanggan boleh memberikan komen atau cadangan untuk penambahbaikan perpustakaan di masa akan datang.


• Senarai Perolehan Buku
Perpustakaan menyediakan senarai perolehan buku baru setiap bulan dan ianya boleh dicapai oleh pelanggan melalui laman web Perpustakaan ATMA.


• Perkhidmatan Maklumat
  1. Maklumat indeks akhbar tempatan iaitu Berita Harian dan Utusan Malaysia (sejak 1992), akhbar Kosmo serta Harian Metro (sejak tahun 2009-2014), Sinar Harian (sejak 2014) yang berkenaan dengan alam dan ketamadunan Melayu boleh di akses melalui Repositori Pembelajaran dan Penyelidikan (VITAL) di alamat : http://ptsldigital.ukm.my.
  2. Pameran bulanan berkaitan topik atau isu semasa diadakan di Perpustakaan ATMA.
  3. Pameran buku baharu dan kulit buku baru diadakan pada setiap bulan untuk mempromosikan buku buku baharu yang diperoleh oleh Perpustakaan ATMA.

Koleksi

Koleksi bahan-bahan di Perpustakan ATMA terbahagi kepada dua :


  • Akses terbuka yang boleh dirujuk dan dipinjam oleh ahli iaitu Koleksi Am.
  • Akses terhad/tertutup yang hanya untuk rujukan di dalam perpustakaan sahaja dan tidak boleh dipinjam iaitu Koleksi Rujukan dan Koleksi Khas.


KOLEKSI AM
Koleksi ini boleh dirujuk dan dipinjam mengikut kelayakan ahli. Selain buku berkaitan bahasa, sastera, sejarah dan budaya Melayu dan Nusantara, koleksi ini merangkumi bahan atau buku-buku dalam bidang alam dan pengajian Melayu terutama koleksi Melayu-Polinesia seperti Melayu Surinam, Sri Lanka, Afrika, Australia Barat dan Taiwan. Contoh buku yang terdapat dalam koleksi ini ialah Sejarah Melayu oleh W.G Shellabear 1969, Hikayat Hang Tuah 1949, Hikayat Malim Dewa oleh R.O.Winstedt 1960, Philippine Islands 1493-1898, We the Navigator, Magellan’s voyage dan lain-lain.


KOLEKSI RUJUKAN
Koleksi Rujukan tidak boleh dipinjam tetapi hanya boleh dirujuk di dalam perpustakaan sahaja. Koleksi ini merangkumi bahan-bahan berkenaan alam Melayu yang terdiri daripada atlas, kamus, ensiklopedia, direktori, bibliografi, indeks, abstrak dan buku panduan. Koleksi ini mempunyai awalan ‘8 Ruj’ pada nombor panggilan buku dan hanya dirujuk dalam perpustakaan sahaja. Contoh buku yang terdapat dalam koleksi ini Ensiklopedia Dunia Melayu dan Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Kamus Belanda-Indonesia, Kamus Bahasa Simalungun-Indonesia dan Atlas van Tropisch Nederland, Uitgegevan.


KOLEKSI TERBITAN BERSIRI
Koleksi ini mempunyai awalan ‘8 siri’ pada nombor panggilan buku. Di antara judul yang dilanggan termasuklah Sari, Dewan Budaya dan lain-lain jurnal berkaitan alam budaya dan sosial Melayu.


KOLEKSI TESIS DAN LATIHAN ILMIAH
Koleksi ini menempatkan tesis dari universiti dalam dan luar negara mengenai beberapa bidang yang berkaitan serta latihan ilmiah pra siswazah mengenai kesusasteraan Melayu daripada Jabatan Persuratan Melayu, UKM serta dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).


KOLEKSI KHAS
Merupakan koleksi Melayu dari seluruh nusantara dan dunia Malyu-Polinesia termasuk Koleksi Melayu Sri Lanka, Afrika Selatan, Koleksi Bahasa Melayu Surinam, judul buku Bahas Sunda, bahan nadir dalam Bahasa Belanda (maklumat berkaitan bahasa dan masyarakat Melayu pada abad ke-16). Antara koleksi yang terdapat dalam Koleksi Khas adalah :


         Koleksi N.A Halim
Koleksi unit yang mengabadikan rakaman pengembaraan budayawan dan sejarawan, Encik Halim Nasir (N.A. Halim) selamat lebih tiga dekad dalam bidang fotografi, senibina, senilukis, pakar perunding dan penulis tamu. Koleksi puluhan tahun yang melambangkan kecintaannya terhadap ilmu dan warisan bangsa Melayu terdiri daripada buku 1,417 judul buku (jurnal, kertas kerja, majalah, laporan, buku cenderamata), 7,736 keping gambar, 7,983 keping slaid, 300 keping plan dan 150 keping peta.


         Koleksi Sastera Sunda
Buku-buku novel picisan dalam Bahasa Sunda terbitan tahun 1969-1975 sumbangan Ibu Sri Parwati Maryam Sidharta (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, 2003) merupakan kumpulan bahan dalam Bahasa Sunda yang terbesar berada di luar tanah Sunda iaitu berjumlah 275 judul (2,367 naskhah).


         Koleksi Wiramanja
Wiramanja adalah nama pena seorang budayawan dan karyawan, Encik Abdul Rahman bin Ahmad Hanafiah. Koleksi ini terdiri daripada 40 Koleksi Skrip Tan Sri P. Ramlee, cakera padat (lagu-lagu Melayu dan sedikit lagu luar negara), majalah, tesis dan buku-buku yang mengandungi karya-karya peribadi beliau berupa antologi puisi dan drama yang sebahagiannya telah diterbitkan oleh RTM.


         Koleksi Saad Shukri
Merupakan koleksi karya-karya Allahyarham Saad Shukri Haji Muda, yang merupakan seorang ahli politik, budayawan dan karyawan yang aktif di Kelantan pada tahun 1930 an hingga 1960 an. Koleksi ini mengandungi 43 naskhah kamus dan ensiklopedia dalam bidang politik, budaya dan bahasa yang masih dalam bentuk taipskrip.


KOLEKSI KERATAN AKHBAR
Perpustakaan juga menyimpan koleksi keratan akhbar mengenai pengajian Melayu daripada Berita Harian dan Utusan Malaysia sejak tahun 1986 hingga 1999.

Kemudahan

FOTOKOPI
Perkhidmatan fotokopi secara layan diri yang dikendalikan oleh pihak swasta disediakan untuk kemudahan pelanggan membuat fotokopi. Pelanggan perlu membeli kad fotokopi di Kaunter Perkhidmatan Pinjaman dan Pemulangan Bahan.


AKHBAR HARIAN
Perpustakaan melanggan lapan (8) akhbar harian utama iaitu Berita Harian, Utusan Malaysia, The Star, The New Straits Times, Harian Metro, Kosmo, Sinar Harian dan The Sun untuk rujukan dan bacaan ringan pelanggan.


BILIK DISKUSI AYAHBONDA
Terdapat sebuah bilik perbincangan yang terletak di aras 3. Pelanggan boleh menggunakan bilik ini dengan mendaftar/menempah di Kaunter Perkhidmatan Pinjaman dan Pemulangan Bahan di aras 3.


BILIK MESYUARAT
Perpustakaan menyediakan Bilik Mesyuarat di mana pelanggan boleh menggunakan bilik ini dengan mendaftar/menempah di aras 2, Pejabat Am, Perpustakaan ATMA.


KEMUDAHAN INTERNET
Perpustakaan menyediakan kemudahan internet untuk kegunaan pelanggan. Kemudahan WiFi juga disediakan di aras 3, Perpustakaan ATMA. Pelanggan dikehendaki mendaftar di Kaunter Perkhidmatan Pinjaman dan Pemulangan Bahan terlebih dahulu sebelum menggunakan kemudahan tersebut.



Friday 28 October 2016

Keahlian Perpustakaan

Pelajar dan kakitangan UKM yang mendaftar sebagai ahli Perpustakaan ATMA layak menggunakan semua perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan. Pendaftaran keahlian boleh dilakukan dengan mengisi borang pendaftaran yang disediakan di Kaunter Perkhidmatan Pinjaman dan Pemulangan Bahan dan juga di laman web Perpustakaan ATMA. Bagi keahlian luar, sila bawa kad matrik/ surat pengesahan/ pengenalan diri dari Perpustakaan/ Jabatan/ Institusi masing-masing.






Thursday 27 October 2016

Pengurusan



Perpustakaan ATMA mempunyai dua orang pustakawan dan tujuh orang kakitangan.



Senarai Koleksi Khas

Senarai Koleksi Khas Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu

Tatatertib Perpustakaan

TATATERTIB PERPUSTAKAAN

1. Pelanggan diwajibkan memakai kad kampus/pelawat semasa masuk dan berada dalam perpustakaan.

2. Pelanggan hendaklah berkelakuan baik dan berpakaian kemas semasa berada di perpustakaan, sesuai dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak Universiti.

3. Pelanggan diwajibkan mematuhi Peraturan Pakaian dan Kemasan Diri Pelajar.

4. Semasa berada di perpustakaan, pelanggan dilarang :

  • Menconteng/mengoyak/merosakkan/membawa keluar buku, jurnal dan bahan perpustakaan tanpa kebenaran.
  • Merosakkan peralatan/bahan media.
  • Membawa makanan ke dalam perpustakaan.
  • Merokok dan makan.
  • Berbual dan mengganggu ketenteraman orang lain.
  • Memindahkan buku/bahan perpustakaan dari satu aras/koleksi ke aras/koleksi yang lain.
  • Menyepahkan/ meninggalkan buku di atas meja/rak.
  • Mengalih/menyalahgunakan/merosakkan perabot.
  • Membuang sampah merata-merata.
  • Memakai selipar semasa masuk dan berada di perpustakaan.
  • Menyepah bekas-bekas minuman dan sampah di Ruang Baca 24 Jam dan dalam perpustakaan.
  • Berkelakuan sumbang atau salah laku dalam perpustakaan.
  • Menyalahguna pangkalan data komersial dan kemudahan Internet.
  • Menggunakan telefon bimbit di kawasan ruang baca, rak buku, katalog GEMILANG, ruang Sudut Bacaan Ringan dan Kaunter Pinjaman. Denda RM10.00 akan dikenakan.

5. Pelanggan dikehendaki meletakkan buku yang telah digunakan di Rak Sementara.

6. Pelanggan yang membuat salinan foto adalah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perkara-perkara yang berkaitan dengan AKTA HAKCIPTA.

7. Pelanggan tidak dibenarkan meminjam bahan/buku dengan menggunakan kad pelanggan lain. Pelanggan juga tidak dibenarkan membawa keluar buku perpustakaan yang dipinjam oleh pelanggan lain. Bahan/buku berkenaan akan ditahan sehingga bahan/buku tersebut dituntut oleh peminjam asal.

8. Kanak-kanak tidak dibenarkan masuk di ruang baca/koleksi perpustakaan.

9. Tempahan tempat duduk tidak dibenarkan.

10. Pelanggan perpustakaan bertanggungjawab pada barang-barang peribadi yang dibawa masuk ke perpustakaan. Perpustakaan tidak bertanggungjawab atas kehilangan barang tersebut.

11. Kakitangan akademik yang cuti belajar/sabatikal ke luar negara WAJIB memulangkan bahan yang dipinjam dari perpustakaan.

12. Pelajar yang menangguh dan ditamatkan pengajian WAJIB memulangkan bahan yang dipinjam dari perpustakaan.

13. Pelajar yang telah tamat pengajian dan masih berhutang dengan perpustakaan tidak dibenarkan mengambil sijil dan transkrip dari Bahagian Pengurusan Akademik dan Pusat Pengajian Siswazah.

14. Kakitangan perpustakaan dibenarkan memeriksa beg yang dibawa masuk dan keluar oleh pelanggan perpustakaan terutamanya ketika “gate” keselamatan berbunyi.

Waktu Pembukaan