Thursday, 4 April 2019

Projek Mengenalpasti Judul Manuskrip di Perpustakaan ATMA


Manuskrip Melayu membawa erti hasil penulisan tangan, berskrip Jawi dengan menggunakan versi Melayu yang dihasilkan sekitar abad ke - 16 sehingga abad ke - 19.

Perpustakaan ATMA mempunyai koleksi manuskrip sumbangan mantan kakitangan perpustakaan iaitu Encik Hasbullah Marzuki.

Koleksi tersebut merupakan tinggalan arwah datuknya, Mohd Pardi Haji Salleh yang dilahirkan pada tahun 1870-an di Pacitan, Jawa Timur.
Arwah merantau ke Chenderiang, Perak sekitar tahun 1920-an dan berguru dengan Kiyai Haji Salleh Haji Abdul Rahman di Temoh, Perak.
Manuskrip berkisarkan tentang kitab sastera, kitab amalan, fekah, kitab jawi jawa, ketika tempoh pengajian arwah Mohd Pardi Haji Salleh.
Proses mengenalpasti judul, jenis khat dan sebagainya tentang manuskrip tinggalan arwah masih berjalan dari masa ke semasa dengan bantuan pembacaan daripada Encik Bazri, Pegawai Penyelidik Sosial ATMA dan Puan Siti Wahida Amanullah, Pustakawan Perpustakaan ATMA.







Thursday, 28 February 2019

Mesyuarat Khas Koleksi Bahasa Melayu Perpustakaan ATMA

Koleksi Bahasa Melayu merupakan salah satu daripada keunikan Perpustakaan ATMA. Koleksi ini menempatkan bahan berkenaan bidang bahasa Melayu sama ada buku, seminar, bahan rujukan, tesis mahupun jurnal.

Demi memantapkan koleksi ini, Perpustakaan ATMA mengambil satu inisiatif mengadakan pertemuan dan perkongsian dengan Pengarah ATMA, YBhg. Prof. Dr. Supyan Hussin, dan tokoh bahasa Melayu sekaligus Felo Penyelidik Utama Bersama iaitu YBhg. Prof. Dato' Dr, Teo Kok Seong dan YBhg. Prof. Dr. James T. Collins.

Sesi perkongsian ini turut dihadiri oleh dua orang felo penyelidik ATMA yang menjalankan penyelidikan dalam bidang bahasa Melayu iaitu Prof. Madya Dr. Chong Shin dan Dr. Junaini Kasdan.

Perbincangan ini penting dalam memastikan bahan yang diklasifikasikan sebagai Koleksi Bahasa Melayu menepati standard dan piawaian penyelidikan bahasa Melayu.

Mesyuarat ini diadakan pada 26 Februari 2019 bertemapat di Bilik Wacana, ATMA turut disertai oleh pustakawan iaitu Puan Hamidah Erman selaku Ketua Perpustakaan ATMA, Cik Rohaya Umar, Puan Anna Kustyana Mukandar, Puan Siti Wahida Amanullah dan Cik Hayatul Azlah Ghazali.

Kakitangan Perpustakaan ATMA yang terlibat adalah Encik Mohd Hafiffy Ghazali, Puan Nur Iklimiah Mohd Ali Hanafiah dan Asmida Omar.






Wednesday, 13 February 2019

Pameran Magis & Semangat Keris Melayu

Pameran bulan Januari hingga Mac 2019 bertemakan Magis dan Semangat Keris Melayu.

Keris adalah sejenis senjata tikam yang digunakan di alam Melayu sejak 700-800 tahun lampau. Oleh sebab keris digunakan di alam Melayu, maka semua jenis keris yang dihasilkan di Nusantara ini dianggap sebagai keris Melayu.

Pertautan keris, zahir dan batin Melayu mempunyai unsur magis dan istimewa. Pameran ini merujuk kepada bahan berkenaan keris yang terdapat di Perpustakaan ATMA.

Harap bermanfaat.

Di dalam keris yang sebilah
Terkandung tuah dan maruah
Yang tuahnya selilit kepala
Yang maruahnya selilit pinggang
Yang tersembunyi dalam mata
Yang tersimpan dalam pamor
Yang tersorok dalam sepuhan
Yang terselindung dalam besi
Yang terpateri dalam baja
Yang terpegang dalam hulu
Yang terlekat dalam sarung
-Dr. Tenas Effendy



Senarai Buku Baharu 2019

Perpustakaan ATMA memperolehi bahan melalui proses pembelian dan hadiah. Demi mengembangkan koleksi, kami mengalu-alukan cadangan pembelian bahan daripada pelanggan berdasarkan bidang ketamadunan Melayu.


Jika anda mempunyai bahan untuk disumbangkan kepada perpustakaan juga, kami amat menghargainya.

Berlampir adalah senarai buku pembelian, hadiah dan Koleksi N.A. Halim (bahan kebelakangan) sepanjang tahun 2019 yang telah diproses di Perpustakaan ATMA.

Thursday, 7 February 2019

Audit Dalaman SPKP Perpustakaan ATMA

Pada 30 Januari 2019, Perpustakaan ATMA telah diaudit oleh JK Audit Dalaman SPKP UKM untuk mengenalpasti kawalan dalaman dokumen, kecekapan dan keberkesanan pentadbiran juga pematuhan prosedur kerja.

Wakil auditor, Puan Suzana Othman telah menjalankan proses pengauditan terhadap kesemua Prosedur Kerja (PK) yang digunakan oleh Perpustakaan ATMA.

Audit Dalaman ini dilihat positif terutama dari segi memperbaiki dan penambahbaikan dari segi perkhidmatan dan proses kerja setiap individu dan jabatan.






Friday, 18 January 2019

Gotong-Royong 5S Zon Ibnu Rusydi

Tanggal 10 Januari 2019, Perpustakaan ATMA telah mengadakan Gotong-Royong 5S Zon Ibnu Rusydi yang merangkumi keseluruhan kawasan perpustakaan.

Aktiviti gotong-royong bermula di Aras 2, Perpustakaan ATMA iaitu Bilik Koleksi Khas, penyusunan semula bahan seminar dan bahan rujukan, pelabelan kawasan, ruang membaca dan zon santai.

Warga perpustakaan meneruskan aktiviti gotong-royong di Aras 1, Perpustakaan ATMA pada sesi petang yang melibatkan bilik mesyuarat, ruang pelupusan, bilik rehat dan ruang solat kakitangan.

Semoga dengan aktiviti ini merapatkan jalinan kerjasama antara warga seterusnya memudahkan urusan ibadah pekerjaan kita.






Selamat Tinggal En Nazwan, Selamat Datang En Zaker

Pertukaran kakitangan dan pegawai Perpustakaan ATMA silih berganti, bak kata pepatah, yang patah tumbuh, yang hilang berganti.

Encik Mohd Nazwan Abd Kader yang telah berkhidmat selama hampir 9 tahun di Perpustakaan ATMA telah ditukarkan ke Unit Perkhidmatan Maklumat, Perpustakaan Tun Seri Lanang berkuatkuasa 1 Januari 2019.

Jawatan beliau diganti dengan Encik Zaker Abd Rahman, yang telah berkhidmat hampir 20 tahun lebih di UKM.

Semoga pertukaran ini memberi pengalaman dan ilmu baharu buat keduanya.

Selamat maju jaya dan terima kasih di atas komitmen Encik Nazwan selama di Perpustakaan ATMA, dan selamat datang kepada Encik Zaker.