Friday 14 June 2019

Pustakawan ATMA di ICOLIS 2019

Peluang menghadiri persidangan antarabangsa sering menjadi pengalaman yang memberi impak positif kepada peserta. Pada 18-19 April 2019, Puan Siti Wahida Amanullah, Pustakawan Kanan dari Perpustakaan ATMA dan Puan Nik Zaleha Nik Mustapha, Pustakawan Kanan dari Unit Katalog, Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) telah diberi peluang untuk menghadiri International Conference on Libraries, Information & Society (ICOLIS) bertempat di Hatten Hotel, Melaka.

ICOLIS 2019 merupakan persidangan siri ketujuh yang diadakan sekali sepanjang dua tahun dianjurkan oleh Universiti Malaya dengan tema Revitalizing the Library for the Nation. Persidangan selama dua hari dengan pembentangan, perkongsian dan perbincangan tentang perkhidmatan terbaik di perpustakaan masing-masing tentunya menyuntik semangat para pustakawan dalam memperkasakan lagi profesyen kepustakawanan.

Dengan perkembangan dunia digital, kebanyakan pembentang berkongsi tentang keperluan memelihara bahan lokal (terutama bahan berbentuk lisan daripada masyarakat setempat) supaya tidak pupus atau terbiar tanpa perekodan untuk rujukan generasi masa depan. Memandangkan perpustakaan merupakan sebuah gedung ilmu, keupayaan untuk mengumpul khazanah tanpa mengira sumber seterusnya mendekatkan komuniti setempat ke ruang ilmu tersebut dilihat menjadi kekuatan untuk sesebuah perpustakaan kekal relevan.

Selain itu, perkongsian pustakawan tentang media sosial dan dunia digital kekal menjadi cabaran malahan menjadikan para pustakawan lebih kreatif dalam mengaplikasikan cabaran tersebut untuk meningkatkan dan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan berkualiti kepada pelanggan.

Persidangan merupakan platform yang baik dan sempurna untuk mengemaskini maklumat dalam diri pustakawan kerana tidak melalui kertas kerja pembentangan sahaja malahan sesi berkenalan dengan pustakawan dari negara lain juga memberi input yang positif.

Mudahan akan ada peluang lain lagi, di masa depan. Insya-Allah.





No comments:

Post a Comment