Friday, 9 August 2019

Rumah Terbuka Aidilfitri@Perpustakaan ATMA

Sempena sambutan Aidilfitri, Perpustakaan ATMA telah mengadakan Rumah Terbuka@PATMA pada 1 Julai 2019.

Seperti kebiasaan, menu tradisional Melayu diketengahkan sebagai juadah kepada tetamu yang diraikan.

Alhamdulillah, apa yang penting dalam suasana rumah terbuka adalah jalinan kemesraan dan ukhuwah di antara ahli akademik, pelajar, rakan sejawat dengan warga Perpustakaan ATMA dapat diperkukuhkan.

Semoga bertemu lagi di Syawal tahun hadapan. Insyallah.



























Wednesday, 3 July 2019

Sumbangan Koleksi Prof. Madya Dr. Syukri Yeoh Abdullah


Perpustakaan ATMA telah menerima sumbangan peribadi daripada ahli akademik ATMA, Prof. Madya Dr. Syukri Yeoh Abdullah pada 9 Mei 2019. Pihak Perpustakaan ATMA dengan bantuan kakitangan daripada Perpustakaan UKM (PTSL, PL2 dan PUU) telah ke rumah beliau di Bangi Lama untuk mendapatkan koleksi tersebut.

Semoga dengan koleksi tersebut memberi nilai tambah kepada pengembangan koleksi sedia ada yang terdapat di perpustakaan seterusnya meningkatkan kepelbagaian sumber rujukan kepada pelanggan perpustakaan.












Bengkel Ulangkaji Skim Pengkelasan Bahan Kesusasteraan dan Bahasa Melayu

Perpustakaan UKM menggunakan skim pengkelasan khas yang dinamakan Skim Pengkelasan Bahan Kesusasteraan dan Bahasa Melayu yang berbeza dengan skim antarabangsa iaitu Library of Congress Classification Systems.

Skim ini tidak pernah dikemaskini secara rasminya sejak dibangunkan pada tahun 1979. Setelah pembangunan Koleksi Bahasa Melayu di Perpustakaan ATMA, keperluan menggunakan skim ini dilihat lebih efektif memandangkan skop dan pengkelasan yang lebih mendalam terhadap subjek bahasa Melayu.

Perpustakaan ATMA telah mengadakan Bengkel Ulangkaji Skim Pengkelasan Bahan Kesusasteraan dan Bahasa Melayu pada 2 Mei 2019 bertempat di Makmal Latihan, Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) dengan dihadiri oleh pustakawan yang terlibat dalam kerja pengkatalogan.

Perkongsian tentang skim ini dimulakan oleh Puan Hamidah Erman selaku Ketua Perpustakaan ATMA, seterusnya tentang pengkatalagon bahan kesusasteraan oleh Cik Hayatul Azlah Ghazali, Ketua Unit Katalog, PTSL dan sesi perkongsian pengalaman mengkatalog bahan dalam bidang bahasa Melayu oleh Puan Siti Wahida Amanullah, Pustakawan Kanan di Perpustakaan ATMA.

Hasil daripada bengkel ini, perlunya satu jawatankuasa khas untuk memantau skim pengkelasan ini dari masa ke semasa supaya seiring dengan perkembangan subjek kesusasteraan dan bahasa Melayu. Pengemaskinian juga dipersetujui untuk melibatkan ahli akademik dalam bidang bahasa Melayu (Dr Chong Sin dan Dr Junaini Kasdan, ATMA) dan tokoh bahasa Melayu seperti Prof. Dato' Dr. Teo Kok Seong dan Prof. Dr. James Collins.





Audit SIRIM di Perpustakaan ATMA

Pada 30 April 2019, Perpustakaan ATMA telah diaudit oleh pihak SIRIM QAS International dibawah Audit Pengawasan SPKP MS ISO 9001:2015 dan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS).

Wakil juruaudit yang bertanggungjawab mengaudit Perpustakaan ATMA adalah Puan Mariam Mohamed Zin, dan tiada laporan ketakakuran yang dilaporkan kecuali beberapa cadangan penambahbaikan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan Perpustakaan ATMA.

Pengalaman di audit oleh pihak SIRIM memberi peluang kepada semua warga untuk lebih komited dalam menjalankan tugas masing-masing.

Terima kasih dan tahniah kepada semua warga Perpustakaan ATMA di atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sebelum dan semasa proses audit.





Friday, 14 June 2019

Jom Baca Bersama 10 Minit@Perpustakaan ATMA


Program Jom Baca Bersama 10 Minit diadakan bersempena sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia yang diadakan setiap tahun. Tujuan program ini diadakan adalah bagi menyahut seruan kerajaan dalam menjayakan Dekad Membaca Kebangsaan, program ini merupakan salah satu inisiatif menggalakkan budaya membaca dikalangan warga UKM seterusnya menjadikan rakyat Malaysia berilmu bertaraf dunia selari dengan slogannya iaitu #MalaysiaMembaca.

Perpustakaan ATMA turut menjayakan program ini pada 23 April 2019 yang merupakan simbolik kepada pembacaan serentak di seluruh negara yang dianjurkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM). Di antara pengisian lain selepas sesi membaca bersama 10 minit, pelanggan boleh berkongsi nilai dan maklumat yang diperolehi menerusi pembacaan yang singkat tersebut.






Pustakawan ATMA di ICOLIS 2019

Peluang menghadiri persidangan antarabangsa sering menjadi pengalaman yang memberi impak positif kepada peserta. Pada 18-19 April 2019, Puan Siti Wahida Amanullah, Pustakawan Kanan dari Perpustakaan ATMA dan Puan Nik Zaleha Nik Mustapha, Pustakawan Kanan dari Unit Katalog, Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) telah diberi peluang untuk menghadiri International Conference on Libraries, Information & Society (ICOLIS) bertempat di Hatten Hotel, Melaka.

ICOLIS 2019 merupakan persidangan siri ketujuh yang diadakan sekali sepanjang dua tahun dianjurkan oleh Universiti Malaya dengan tema Revitalizing the Library for the Nation. Persidangan selama dua hari dengan pembentangan, perkongsian dan perbincangan tentang perkhidmatan terbaik di perpustakaan masing-masing tentunya menyuntik semangat para pustakawan dalam memperkasakan lagi profesyen kepustakawanan.

Dengan perkembangan dunia digital, kebanyakan pembentang berkongsi tentang keperluan memelihara bahan lokal (terutama bahan berbentuk lisan daripada masyarakat setempat) supaya tidak pupus atau terbiar tanpa perekodan untuk rujukan generasi masa depan. Memandangkan perpustakaan merupakan sebuah gedung ilmu, keupayaan untuk mengumpul khazanah tanpa mengira sumber seterusnya mendekatkan komuniti setempat ke ruang ilmu tersebut dilihat menjadi kekuatan untuk sesebuah perpustakaan kekal relevan.

Selain itu, perkongsian pustakawan tentang media sosial dan dunia digital kekal menjadi cabaran malahan menjadikan para pustakawan lebih kreatif dalam mengaplikasikan cabaran tersebut untuk meningkatkan dan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan berkualiti kepada pelanggan.

Persidangan merupakan platform yang baik dan sempurna untuk mengemaskini maklumat dalam diri pustakawan kerana tidak melalui kertas kerja pembentangan sahaja malahan sesi berkenalan dengan pustakawan dari negara lain juga memberi input yang positif.

Mudahan akan ada peluang lain lagi, di masa depan. Insya-Allah.





Bengkel Pencarian Maklumat Bahan Bahasa Melayu

Perpustakaan ATMA dengan kerjasama Unit Penyelidikan, Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) telah mengadakan Bengkel Pencarian Bahan Bahasa Melayu pada 9 April 2019 bertempat di Makmal Latihan, PTSL.

Bengkel yang dihadiri oleh pustakawan dan kakitangan perpustakaan telah dikendalikan oleh Puan Mariatul Qibtiah Isa, Pustakawan Kanan Unit Penyelidikan, PTSL dengan menekankan beberapa platform pencarian untuk bahan dalam bidang bahasa Melayu.

Platform carian tersebut adalah EBSCHOST Discovery, MyCite, MYTO, Proquest, IIUM Repository, Directory of Open Access (DOAJ), U-Pustaka PNM (Perpustakaan Negara Malaysia) dan IDBP.

Bengkel ini bertujuan untuk menambah kemahiran dan pengetahuan pustakawan dan kakitangan terutama dalam mendapatkan bahan atau sumber berkenaan subjek bahasa Melayu.