Saturday 29 October 2016

Koleksi

Koleksi bahan-bahan di Perpustakan ATMA terbahagi kepada dua :


  • Akses terbuka yang boleh dirujuk dan dipinjam oleh ahli iaitu Koleksi Am.
  • Akses terhad/tertutup yang hanya untuk rujukan di dalam perpustakaan sahaja dan tidak boleh dipinjam iaitu Koleksi Rujukan dan Koleksi Khas.


KOLEKSI AM
Koleksi ini boleh dirujuk dan dipinjam mengikut kelayakan ahli. Selain buku berkaitan bahasa, sastera, sejarah dan budaya Melayu dan Nusantara, koleksi ini merangkumi bahan atau buku-buku dalam bidang alam dan pengajian Melayu terutama koleksi Melayu-Polinesia seperti Melayu Surinam, Sri Lanka, Afrika, Australia Barat dan Taiwan. Contoh buku yang terdapat dalam koleksi ini ialah Sejarah Melayu oleh W.G Shellabear 1969, Hikayat Hang Tuah 1949, Hikayat Malim Dewa oleh R.O.Winstedt 1960, Philippine Islands 1493-1898, We the Navigator, Magellan’s voyage dan lain-lain.


KOLEKSI RUJUKAN
Koleksi Rujukan tidak boleh dipinjam tetapi hanya boleh dirujuk di dalam perpustakaan sahaja. Koleksi ini merangkumi bahan-bahan berkenaan alam Melayu yang terdiri daripada atlas, kamus, ensiklopedia, direktori, bibliografi, indeks, abstrak dan buku panduan. Koleksi ini mempunyai awalan ‘8 Ruj’ pada nombor panggilan buku dan hanya dirujuk dalam perpustakaan sahaja. Contoh buku yang terdapat dalam koleksi ini Ensiklopedia Dunia Melayu dan Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Kamus Belanda-Indonesia, Kamus Bahasa Simalungun-Indonesia dan Atlas van Tropisch Nederland, Uitgegevan.


KOLEKSI TERBITAN BERSIRI
Koleksi ini mempunyai awalan ‘8 siri’ pada nombor panggilan buku. Di antara judul yang dilanggan termasuklah Sari, Dewan Budaya dan lain-lain jurnal berkaitan alam budaya dan sosial Melayu.


KOLEKSI TESIS DAN LATIHAN ILMIAH
Koleksi ini menempatkan tesis dari universiti dalam dan luar negara mengenai beberapa bidang yang berkaitan serta latihan ilmiah pra siswazah mengenai kesusasteraan Melayu daripada Jabatan Persuratan Melayu, UKM serta dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).


KOLEKSI KHAS
Merupakan koleksi Melayu dari seluruh nusantara dan dunia Malyu-Polinesia termasuk Koleksi Melayu Sri Lanka, Afrika Selatan, Koleksi Bahasa Melayu Surinam, judul buku Bahas Sunda, bahan nadir dalam Bahasa Belanda (maklumat berkaitan bahasa dan masyarakat Melayu pada abad ke-16). Antara koleksi yang terdapat dalam Koleksi Khas adalah :


         Koleksi N.A Halim
Koleksi unit yang mengabadikan rakaman pengembaraan budayawan dan sejarawan, Encik Halim Nasir (N.A. Halim) selamat lebih tiga dekad dalam bidang fotografi, senibina, senilukis, pakar perunding dan penulis tamu. Koleksi puluhan tahun yang melambangkan kecintaannya terhadap ilmu dan warisan bangsa Melayu terdiri daripada buku 1,417 judul buku (jurnal, kertas kerja, majalah, laporan, buku cenderamata), 7,736 keping gambar, 7,983 keping slaid, 300 keping plan dan 150 keping peta.


         Koleksi Sastera Sunda
Buku-buku novel picisan dalam Bahasa Sunda terbitan tahun 1969-1975 sumbangan Ibu Sri Parwati Maryam Sidharta (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, 2003) merupakan kumpulan bahan dalam Bahasa Sunda yang terbesar berada di luar tanah Sunda iaitu berjumlah 275 judul (2,367 naskhah).


         Koleksi Wiramanja
Wiramanja adalah nama pena seorang budayawan dan karyawan, Encik Abdul Rahman bin Ahmad Hanafiah. Koleksi ini terdiri daripada 40 Koleksi Skrip Tan Sri P. Ramlee, cakera padat (lagu-lagu Melayu dan sedikit lagu luar negara), majalah, tesis dan buku-buku yang mengandungi karya-karya peribadi beliau berupa antologi puisi dan drama yang sebahagiannya telah diterbitkan oleh RTM.


         Koleksi Saad Shukri
Merupakan koleksi karya-karya Allahyarham Saad Shukri Haji Muda, yang merupakan seorang ahli politik, budayawan dan karyawan yang aktif di Kelantan pada tahun 1930 an hingga 1960 an. Koleksi ini mengandungi 43 naskhah kamus dan ensiklopedia dalam bidang politik, budaya dan bahasa yang masih dalam bentuk taipskrip.


KOLEKSI KERATAN AKHBAR
Perpustakaan juga menyimpan koleksi keratan akhbar mengenai pengajian Melayu daripada Berita Harian dan Utusan Malaysia sejak tahun 1986 hingga 1999.

No comments:

Post a Comment